mutakhir

'Saya berkebun kerana mahu dekat dengan anak, kuburnya di sebelah kebun ini saja'

Oleh Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: "Saya berkebun setiap hari dari pagi hingga ke petang sejak enam tahun lalu kerana mahu sentiasa 'dekat' dengan anak yang kuburnya hanya di sebelah kebun ini saja. Setakat ini, saya menanam 450 pokok buah-buahan yang hasilnya diberi kepada orang ramai khasnya sukarelawan yang membantu saya," kata warga emas, Yen Maseri Idris, 67.

Yen Maseri berkata, kebun bandar berdekatan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini diusahakannya selepas setahun pemergian anak bongsunya, yang meninggal dunia di United Kingdom (UK) dan dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Bagaimanapun, mungkin disebabkan kepesatan kawasan itu, tiada siapa yang perasan kewujudan kebun bandar di atas tanah rizab terbiar milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 600 meter itu, melainkan ia kelihatan seperti kawasan hutan kecil seperti kawasan lain di sekitar ibu kota.

Yen Maseri berkata, kematian anaknya pada 2016 yang ketika itu pelajar di London, memberi kesan sangat mendalam sehingga beliau berhenti kerja selepas 32 tahun berkhidmat di Unit Sumber Manusia sebuah syarikat dengan menghabiskan masa melawat kubur anaknya.

"Semua rasa kegembiraan hilang selepas anak meninggal dunia. Setiap hari saya berkunjung ke kuburnya dan sanggup berkhidmat sebagai penggali kubur selama setahun di situ semata-mata mahu sentiasa dekat dengannya.

"Selepas setahun, saya melihat ada kawasan tanah rizab terbiar di belakang tanah perkuburan itu yang penuh semak samun dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk.

"Jadi timbul idea untuk membersihkan kawasan itu dan menanam pokok yang dapat memberi manfaat kepada setiap orang kerana saya faham ini tanah rizab, cuma saya ingin mentransformasi serta menjadikan kawasan itu tidak terbazir begitu saja.

"Pada masa sama, kegiatan saya ini masih membolehkan saya 'dekat' dengan arwah anak kerana setiap hari tetap datang melawat kuburnya," katanya yang berulang alik sejauh 10 kilometer dari rumahnya di Sri Hartamas, di sini.

Yen Maseri berkata, dia tidak pernah terfikir menjadi seorang pekebun dan sejak mengusahakan kebun bandar itu selama enam tahun, hampir 450 batang pokok daripada 30 jenis pokok buah-buahan ditanamnya termasuk ciku hibrid, avacado, nangka, mangga harum manis, durian musang king dan rambutan.

"Banyak hasil sudah diperoleh dan ia tidak pernah dijual, sebaliknya berkongsi dengan kira-kira 150 ahli sukarela yang terbabit dalam projek kebun ini bagi memastikan usaha menghijaukan kawasan terbiar dengan sesuatu yang bermanfaat dapat diteruskan.

"Malah saya juga menjaga dan memberi makan ikan talapia bunga yang ada dalam longkang di sini yang dibersihkan sehingga jernih hingga boleh dilihat ikan berenang.

"Ikan talapia bunga ini sangat banyak dan seekor ikan dewasa dianggarkan seberat satu kilogram. Saya mengutip lebihan makanan di medan selera berdekatan dan memberikan daun pandan yang ditanam di sini kepada peniaga terbabit," katanya yang setiap hari berada di kebun itu bermula 7.30 pagi hingga 7 petang.

Yen Maseri berkata, tidak dinafikan sejak mengusahakan tanah ini daripada semak samun kepada satu 'permata' bernilai yang boleh dinikmati orang ramai secara terbuka, banyak cabaran dihadapinya termasuk sering diadu mengenai aktiviti perkebunannya kepada pihak berkuasa, selain dicerobohi orang luar.

"Saya faham ini tanah rizab dan mengalu-alukan sukarelawan berganding bahu menjadikan kawasan terbiar ini satu lokasi bermanfaat dan berkongsi ilmu kerana saya tiada pengalaman bertani sebelum ini.

"Malah saya juga berhubung dan memaklumkan aktiviti perkebunan di tanah milik JPS ini melakukan tindakan susulan lain untuk memastikan ia sentiasa dikemaskini kepada pihak berwajib.

"Bagi saya, setiap tumbuhan ditanam ini, jika hasilnya dikongsi bersama, buahnya juga akan sentiasa lebat dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat," katanya yang turut membaja pokok ini tiga bulan sekali dengan modal sendiri sekurang-kurangnya RM400.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, anaknya turut memberi sokongan terhadap usahanya, malah anak perempuannya turut membantu menyiapkan kandungan media sosial perkembangan terkini kebun bandar untuk tatapan orang ramai.

"Kebun bandar menerima sumbangan, contohnya jika memerlukan sesuatu seperti memasang pagar dan sebagainya. Jadi saya perlu sentiasa mengemaskini perkembangannya supaya penyumbang tahu walaupun mereka tidak turun padang.

"Saya berharap usaha ini memberikan satu nilai positif, malah saya sedang mengusahakan satu laluan khas sepanjang 250 meter untuk dijadikan denai bagi memudahkan orang ramai datang ke sini untuk menikmati suasana kebun dalam bandar," katanya.

Sementara itu, jurucakap JPS berkata, pihaknya maklum mengenai usaha dilakukan Yen Maseri dan menyarankan warga emas itu membuat permohonan mengusahakan kebun bandar itu secara komuniti.

Katanya, JPS sedia menilai permohonan berkenaan untuk kelulusan berdasarkan syarat ditetapkan.

"Rizab sungai adalah laluan penyelenggaraan bagi kerja seperti pembaikan tebing sungai dan pengorekan kelodak sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

"Justeru JPS sebenarnya tidak menggalakkan aktiviti tanaman dalam kawasan rizab sungai kerana menghalang kerja penyelenggaraan sungai dijalankan, tetapi dalam kes ini, kita sedia meneliti permohonan dikemukakan kerana ia dilakukan untuk tujuan bermanfaat," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 1:04pm
d