mutakhir

YBR, UniMAP lancar Hub Komuniti

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Hub Komuniti yang menyediakan kemudahan dan terapi kepada golongan autisme.

Hub komuniti berkenaan memberi tumpuan kepada anak autisme dalam kalangan keluarga B40 di sekitar Perlis dengan menyediakan sokongan kemudahan dan terapi sebagai stimulasi kepada mereka.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya amat menyokong inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat dan golongan autisme antara golongan yang mendapat perhatian YBR dalam mengembangkan potensi serta sebagai platform dalam menggilap keupayaan mereka di masa hadapan.

"Golongan ini mampu bersaing dan bersifat kompetitif sama seperti mereka yang normal jika diberi pendedahan dan arah yang betul serta memberi kembali khidmat kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pemangku Raja Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuaku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin mencemar duli merasmikan hub berkenaan.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli; Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Kawaguchi Yoshiyasu; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Sementara itu, seramai 10 anak autisme turut menerima surat tawaran menjalani terapi bernilai RM3,500, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM35,000.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 8:26pm
d