mutakhir

Kelibat Angie didakwa dirakam CCTV

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Usaha mencari Angie Chong Sum Yee, 22, yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini, menemui sinar baharu apabila kelibatnya dikatakan dirakam kamera litar tertutup (CCTV), kelmarin.

Abangnya, Chong berkata, perkara itu tersebar selepas rakaman CCTV memaparkan seorang wanita mirip adiknya disiarkan menerusi satu laporan berita di Thailand, kelmarin.

"Setakat ini itu sahaja perkembangan terbaru yang kami dapat… laporan berita Thailand itu kami tengok di YouTube.

"Tetapi buat masa ini kami belum pergi ke sana untuk sahkan sama ada itu betul-betul adik saya atau tidak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan keluarga tidak tahu tujuan Angie pergi ke negara jiran berkenaan, malah hanya mengetahui keberadaan adiknya itu selepas wanita itu tiba di Thailand, 29 Mei lalu.

"Dia tak ada bagi tahu sesiapa sebelum bertolak ke sana, apabila sudah sampai sana baru dia beritahu kami.

"Selepas dia sampai dia berhubung dengan kami menerusi WhatsApp sampai tiba-tiba dia senyap… kali terakhir dia berhubung dengan kami pada 31 Mei," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa meminta tolong orang ramai untuk mencari mangsa yang juga seorang pakar kecantikan.

Dalam hantaran di Facebook, wanita berkenaan merayu bantuan orang ramai selepas Angie gagal dihubungi lebih daripada 24 jam.

Perkara itu mendapat perhatian penduduk di sekitar Chiang Mai, Thailand malah ia turut dilaporkan media di sana.

Dalam pada itu, Harian Metro sedang menanti maklumat lanjut daripada pihak berkuasa dan Wisma Putra berhubung kejadian terbabit.

Disiarkan pada: June 6, 2023 @ 9:52am
d