mutakhir

Ismail Sabri dilantik Presiden Kehormat WUAVF

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Presiden Kehormat Pertubuhan Dron atau Kenderaan Udara Tanpa Pemandu Dunia (WUAVF).

Watikah lantikan diserahkan oleh Presiden WUAVF, Jincai Yang dalam satu majlis sempena Kongres Dron Dunia Ke-7 di Shezen, China, Sabtu lalu.

Ismail Sabri dalam hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada WUAVF kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mempromosikan industri pesawat udara tanpa pemandu (UAV) kepada dunia.

Menurutnya, industri dron berkembang sangat pantas dan sebagai contoh, pengeluar utama dron sedang berusaha menghasilkan kenderaan tanpa pemandu yang lebih besar bagi memudahkan urusan harian.

Katanya, teknologi itu perlu dikuasai segera dan sekiranya sebelum ini dron digunakan oleh tentera tetapi hari ini ia menjadi satu teknologi membabtkan semua bidang sama ada di darat, air dan udara.

"Saya akan membantu pertubuhan ini untuk mempromosikan industri itu demi kesejahteraan dunia," katanya.

Ismail Sabri berkata, ketika menerajui pemerintahan negara, beliau memberikan perhatian serius kepada industri itu untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan menjadi sumber pendapatan baharu negara.

Malah beliau turut melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.

Disiarkan pada: June 6, 2023 @ 12:48pm
d