mutakhir

Pegawai polis kanan misi Op Daulat kritikal [METROTV]

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Teluk Intan: Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang terbabit dalam misi risikan semasa Op Daulat kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, Senior Asisten Komisioner (B) Zulkiflli Abd Aziz, 64, yang menjadi penggerak utama dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pengganas Sulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekarang terbaring lemah dan bergantung kepada alat bantu pernafasan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Zulkiflli ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Sungai Tungku, dekat sini pada 1 Jun lalu sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi menerima rawatan.

"Sepanjang tempoh dalam cawangan khas, beliau banyak membantu dalam Op Daulat semasa kemasukan pengganas Sulu di Lahad Datu dengan menyalurkan maklumat risikan bagi kegunaan pasukan gempur.

"Ini termasuk maklumat serangan dan pengesanan ahli pengganas Sulu yang menyelinap masuk ke Kampung Simunul, Semporna, Sabah.

"Beliau adalah penggerak utama, 'unsung hero' yang membantu pihak PDRM untuk mengesan dan menangkap pengganas Sulu sehingga ada yang sudah ditangkap dan dijatuhkan hukuman," katanya semasa lawatan kebajikan pesara PDRM di Hospital Teluk Intan, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Khas Perak, Datuk Shazeli Kahar dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri.

Mengulas mengenai perkhidmatan wira itu, Mohd Yusri berkata, Zulkiflli memulakan perkhidmatannya di Cawangan Khas sehingga jawatan terakhirnya sebagai Ketua Staf Perisikan ESSCOM dan bersara wajib empat tahun lalu.

Katanya, doktor mengesahkan beliau mengalami strok dan kini masih belum sedarkan diri.

Disiarkan pada: June 6, 2023 @ 4:17pm
d