mutakhir

Pengawal keselamatan terima manfaat SKSSR arwah isteri

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Saya tidak tahu arwah isteri ada didaftarkan di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Perkeso.

"Mungkin ini persediaan dia sebelum meninggalkan kami akibat penyakit tiroid," kata Ali Che Din.

Pengawal keselamatan berusia 50 tahun itu berkata, dia tidak menyangka dirinya dan lima anak termasuk empat berstatus orang kurang upaya (OKU) layak menerima manfaat menerusi SKSSR arwah isterinya.

Katanya, ia hanya diketahuinya ketika dihubungi wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas dua bulan isterinya, Suzana Ismail, 42, meninggal dunia.

Ali berkata, menerusi skim itu melayakkannya bagi menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000.

"Sementara, lima anak berusia antara enam hingga 20 tahun turut memperoleh manfaat daripada pencen penakat sebanyak RM300 sebulan.

"Dua bulan selepas isteri meninggal dunia, saya dihubungi wakil Perkeso berkenaan perkara ini dan memang terkejut kerana dimaklumkan bahawa semua prosedur sudah diselesai pihak terbabit," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Ali, anaknya yang pertama hingga keempat adalah OKU dengan masalah pembelajaran yang mana anak sulung bekerja sebagai penghantar e-hailing, tiga lagi masih menuntut di sekolah pendidikan khas dan seorang lagi di pra-sekolah.

"Pendapatan saya juga tidak seberapa, sekurang-kurangnya manfaat diterima dapat diguna bagi persekolahan anak dan itulah yang sering difikirkan kerana sebelum ini semuanya diuruskan isteri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perkeso atas inisiatif dalam memperkenalkan skim ini kepada suri rumah yang tidak bekerja," katanya ketika menerima Kunjungan Ziarah Prihatin oleh Pengurus Perkeso Georgetown Mohd Asri Mohd Rasid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Lim Siew Kim.

Mohd Asri berkata, manfaat menerusi SKSSR itu adalah mengikut Akta 838 dan sekaligus bertujuan meringankan beban keluarga pencarum.

"Ini adalah kes pertama membabitkan pencarum di bahagian pulau negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2023 @ 1:51pm
d