mutakhir

Lelaki disyaki dera anak teman wanita diburu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis mengesan lelaki yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penderaan ke atas bayi perempuan berusia dua tahun itu pada 5.05 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat, lelaki dikenali Amir Shafiq Suhaimi, 31, dipercayai memukul mangsa kerana dikatakan bising.

"Dia didakwa memukul hingga mangsa bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saralathan berkata, kejadian dilapor berlaku di rumah dihuni suspek dan teman wanitanya sebelum bayi itu kemudian dihantar ke rumah keluarga wanita terbabit di Taman Setapak Jaya.

Katanya, difahamkan ketika kejadian ibu mangsa ada bersama anaknya namun tidak melawan suspek.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan usaha memburu suspek giat dilakukan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: June 8, 2023 @ 2:48pm
d