mutakhir

'Logo OK, bukan 'cincai' - Mohd Shukri

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan Negeri Perlis mempertahankan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 sebagai rangka promosi pelancongan negeri sejak minggu lalu meskipun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak disebabkan rekaannya yang dianggap 'cincai'.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, isu itu tidak timbul kerana hanya sekitar tiga atau empat individu saja yang membantah pemilihan logo pelancongan berkenaan.

"Saya lihat di Facebook, berhubung pemilihan logo berkenaan hanya dibantah oleh tiga ke empat orang individu saja.

"Saya tengok dalam tu (laman sosial) baru 19 orang, yang tak suka baru tiga ke empat orang. Jadi tak timbul isu," katanya hari ini.

Katanya, tiada sebarang isu yang timbul berikutan daripada pemilihan logo sejak dipamerkan kepada umum dalam laman Facebook Tourism of Perlis Official sejak Jumaat lalu.

Terdahulu, pemilihan logo baru Tahun Melawat Perlis bagi 2024-2025 yang baru mengundang kritikan ramai, termasuk daripada bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Amin yang juga Timbalan Majlis Pimpinan Negeri PKR Perlis berkata, kerajaan negeri pastinya mempunyai rekaan yang lebih menarik dan bermakna yang boleh dijadikan logo pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis tahun hadapan.

Malah, Amin mendakwa rekaan logo itu juga dilihat agak 'cincai' dan tidak menarik.

Disiarkan pada: June 13, 2023 @ 4:26pm
d