mutakhir

Sasar 50 peratus institusi pendidikan berstatus hijau di Pahang

Oleh BERNAMA

Kuantan: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus institusi pendidikan di negeri ini diiktiraf sebagai sekolah atau institusi hijau melalui program Eco-Schools dan Eco-Campus.

Baginda bertitah sasaran itu adalah satu daripada empat teras digariskan pada Pelan Hala Tuju Greening Education Partnership Pahang 2023-2030 bagi memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan bagi menangani cabaran alam sekitar yang semakin mendesak melalui pendidikan.

"Greening Education Partnership merupakan satu inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan menyampaikan tindakan yang teguh dan komprehensif bagi menyediakan setiap murid memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap untuk menghadapi perubahan iklim.

"Ia juga ditubuhkan untuk memberi inspirasi kepada negara agar terus memperkasakan murid dengan kemahiran diperlukan untuk tindakan iklim pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam konteks peralihan ke arah ekonomi digital dan hijau," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Eco-Schools Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah, di sini, hari ini, anjuran Yayasan Green Growth Asia dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Pahang.

Turut berangkat ialah adinda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana yang juga Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera selain turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Program Eco-Schools, menurut Tengku Hassanal adalah elemen terpenting dalam menjayakan pelan hala tuju itu dan platform terbaik bagi membentuk teladan serta meningkatkan kesedaran dan perakuan isu alam sekitar semasa melalui pembelajaran.

Buat permulaan, sebanyak 100 sekolah rendah dan menengah di Pahang akan terbabit dalam pelaksanaan Eco-Schools.

Selain sasaran 50 peratus itu, pelan berkenaan turut menyasarkan 100 peratus sekolah terbabit dalam pelaksanaannya menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim dalam kurikulum, manakala 100 peratus institusi pendidikan tinggi akan menawarkan kursus pengurusan pembangunan mampan.

Manakala pengetua atau guru besar dan sekurang-kurangnya dua guru dari setiap sekolah di Pahang menghadiri kursus pendidikan perubahan iklim serta semua sekolah di kawasan Felda yang mengikuti Eco-Schools menjadi pusat pendidikan bagi pembangunan masyarakat mampan.

Tengku Hassanal juga bertitah, program Eco-Schools adalah program pendidikan untuk pembangunan mampan atau Education For Sustainable Development terbesar di dunia dengan jaringan 95 negara membabitkan 20 juta murid dan sejuta guru.

Intervensi pendidikan untuk pembangunan mampan itu juga, menurut Tengku Hassanal, membawa peranan belia selaku ejen perubahan dalam membina masyarakat sifar bersih karbon.

Disiarkan pada: June 13, 2023 @ 4:59pm
d