mutakhir

Saja-saja baling batu ke lebuh raya

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Sekadar suka-suka membaling batu ke arah kenderaan lalu-lalang di lebuh raya. Itu alasan lima remaja lelaki selepas ditahan petang semalam kerana melakukan perbuatan itu Isnin lalu.

Terdahulu, tular rakaman seorang pemandu lori yang terkejut apabila lori dipandunya dibaling objek keras di Kilometer 253.3 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah selatan, dekat Senawang, di sini.

Rakaman berdurasi 52 saat mengenai kejadian itu memaparkan pemandu cuba mengejar pelaku, namun suspek dikatakan melarikan diri ke dalam semak di tepi lebuh raya dan menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, daripada maklumat awal diterima, empat suspek dipercayai terbabit kejadian itu.

"Kira-kira 8.15 malam Isnin lalu, polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berumur 32 tahun iaitu pemandu lori menyatakan cermin hadapan lori miliknya dibaling kayu dan batu.

"Kejadian dipercayai 7 malam ketika kenderaan mangsa melalui Lebuhraya Plus dekat Senawang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, empat suspek lelaki dipercayai melarikan diri ke arah semak berdekatan lebuh raya berkenaan dan mangsa dikatakan kerugian kira-kira RM1,000.

Tambah beliau, hasil operasi dan maklumat, anggota dari Balai Senawang menahan lima remaja dari 5 petang hingga 7 malam tadi di tiga lokasi di Senawang.

"Hasil siasatan awal mendapati remaja berkenaan melakukan perbuatan berkenaan hanya untuk berseronok di kawasan itu. Tiga remaja berusia 14 tahun, manakala dua lagi berumur 15 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2023 @ 10:22am
d