mutakhir

Seremban dan Izumi di Jepun kini bandar berkembar

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Seremban mewujudkan program bandar berkembar atau 'sister city' dengan Bandar Izumi di Jepun yang bakal memberi manfaat kepada kebudayaan, ekonomi, pelaburan dan pendidikan.

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, satu perjumpaan diadakan dengan wakil perbandaran Izumi baru-baru ini, bagi merasmikan kerjasama berkenaan.

"Ia kerjasama penting yang menghimpunkan dua bandar dalam semangat persahabatan, kerjasama dan pertukaran budaya.

"Pertemuan ini sebagai platform untuk mewujudkan ikatan yang kukuh antara kedua-dua bandar, memupuk hubungan berpanjangan yang memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti dalam pelbagai cara," katanya dihubungi.

Tambah Veerapan, program itu turut membuka peluang untuk pembangunan ekonomi dan perdagangan.

"Perkongsian ini membolehkan penerokaan kerjasama perniagaan, misi perdagangan dan peluang pelaburan antara kedua-dua bandar.

"Ini boleh membawa kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan perkongsian amalan terbaik dalam bidang seperti teknologi, inovasi serta keusahawanan," katanya.

Jelas beliau lagi, kerjasama dengan negara maju seperti Jepun bakal memberi manfaat dan pertukaran daripada segi aspek pendidikan serta akademik.

"Ia juga menggalakkan kerjasama antara sekolah, universiti dan institusi penyelidikan malah menggalakkan pertukaran pengetahuan, idea dan penemuan penyelidikan," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2023 @ 1:58pm
d