mutakhir

Tunku Puan Mahkota Kedah dahului senarai penerima darjah kebesaran Kedah

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Tunku Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Che Puan Nur Julie dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato' Seri Diraja.

Sultan Sallehuddin turut berkenaan menganugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Dato' Seri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali diikuti Dato' Pengelola Bijaya Diraja Datuk Bakar Din yang dianugerahkan Orang Besar Lapan yang membawa gelaran Dato' Seri Setia Diraja.

Istiadat diteruskan dengan penganugerahan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) yang membawa gelaran Dato' Wira kepada dua penerima iaitu Pegawai Kewangan Kedah Datuk Isahak Murat dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kedah Datuk Mansor Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif LSP Sdn Bhd Datuk Vijayasundram Jeyabalan pula dianugerahkan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) (Kehormat) yang membawa gelaran Dato' Wira.

Dua penerima iaitu Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris dan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dianugerahkan Darjah Dato' Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) yang membawa gelaran Dato' Pahlawan.

Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk M.Noor Azman Taib dan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dianugerahkan Darjah Dato' Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Dato'.

Sebelas penerima pula dianugerahkan Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato', antaranya Pengarah Tanah dan Galian Kedah Datuk Md Shuhaimie Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah Datuk Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin dan Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah.

Turut menerima DSDK adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Zamzuri Abdul Aziz dan bekas Pegawai Daerah Padang Terap Fathullah Suhaimi Ismail.

Penerima DSDK lain adalah Ketua Perkhidmatan Ortopedik, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Sultan Abdul Halim Dr Vijaya Kumar a/l L.Suppan, Timbalan Ketua Perkhidmatan, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik Hospital Pulau Pinang Dr Abu Yamin Khamis, Pengerusi Persatuan Industri Keselamatan Malaysia Kedah dan Perlis Datuk Md Rosli Abd Wahab, Pengerusi Tiong Min Constructions Sdn Bhd Koay Hun Tiong dan Pengarah Kumpulan The Weststar Group Muhammad Arif Abu Bakar.

Dua penerima pula iaitu Timbalan Pengarah 1, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Bukit Aman DCP Mohd Nasri Omar dan Panglima Wilayah Laut, Markas Wilayah Laut 3 Laksamana Pertama Ee (Yee) Tai Peng dianugerahkan Darjah Dato' Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Dato'.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan bintang kebesaran iaitu Setia Sultan Sallehuddin (SSS) (dua penerima), Setia DiRaja Kedah (SDK) (12 penerima), Ahli Mahkota Kedah (AMK) (35 penerima), Ahli Setia Pahlawan (ASP) (enam penerima) dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) (40 penerima).

Seramai 99 penerima pula menerima tiga pingat kebesaran iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK) dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Berangkat sama ke istiadat hari ini Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

tamat

Disiarkan pada: June 18, 2023 @ 1:48pm
d