mutakhir

43 kes pesawat asing ceroboh ruang udara negara

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebanyak 43 kes pencerobohan pesawat asing di ruang udara Malaysia direkodkan sejak Januari hingga Mei lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk ancaman kedaulatan dan pencerobohan pesawat asing yang memasuki ruang udara negara tanpa kebenaran.

"Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat hanya berlaku di Region 1 sahaja merangkumi enam kes pencerobohan iaitu dua kes tidak mengikuti laluan seperti yang dimohon dan empat kes tanpa permohonan.

"Bagi Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan pula, sebanyak 37 kes membabitkan pencerobohan di Region 1, manakala 34 kes pencerobohan di Region 2," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang meminta kementerian itu data pencerobohan ruang udara daripada pesawat asing secara spesifik.

Menurutnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaktifkan pelan operasi khusus bagai menangani isu pencerobohan ruang udara oleh pesawat asing.

"Mekanisme tindak balas TUDM terhadap pencerobohan adalah melalui Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) di mana pelan operasi khusus seperti Operasi Curiga, Operasi Sierra Watch dan Operasi Jedi Watch akan diaktifkan.

"Pemantauan dilakukan mengikut wilayah iaitu Region 1 (Semenanjung) dan Region 2 (Sabah dan Sarawak) serta terbahagi kepada dua kategori ruang udara iaitu Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat (Malaysia Territorial Airspace - MTA) dan Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan ( EEZ - MTA).

"Selain itu, pihak kementerian turut mengemukakan laporan pencerobohan yang dikenal pasti dan cadangan Bantahan Diplomatik secara berkala kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2023 @ 4:47pm
d