mutakhir

Ramai mengeluh bil elektrik melambung

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Isu bil elektrik yang ketika ini didakwa melambung tinggi antara keluhan disuarakan masyarakat di media sosial, malah ramai memarahi Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Cuaca tidak menentu dan kadang-kadang panas berbahang dikatakan punca utama bil elektrik melambung disebabkan penggunaan penyaman udara dalam tempoh lama.

Platform sembang sosial seperti di Facebook (FB) menerusi akaun FB, 'Bil elektrik TNB melambung tinggi ke?' yang diwujudkan turut menjadi tempat warganet meluahkan apa yang dihadapi mereka.

Ada dalam kalangan pengguna menyifatkan kenaikan bil utiliti itu tidak logik berbanding penggunaan tenaga elektrik.

"Anda semua rasa logik ke tak bil elektrik rumah ayah saya macam ini? Padahal beberapa bulan sebelumnya semua RM100++ sahaja. Kalau ia pun musim panas, penggunaan elektrik/penyaman udara tetap sama. Yang duduk rumah pun ibu dan ayah sahaja. Kali ini memang tak logik, cecah sampai RM1k (RM1,000++).

"Jika nak anggar pun biarlah logik. Rumah teres setingkat biasa sahaja, bukannya rumah banglo tiga tingkat bil sampai macam ini? Orang berniaga kek yang guna ketuhar 24 jam pun tak melambung bil macam ini," kata Najihah Rokman.

Beliau turut melampirkan bil bulanannya iaitu Disember 2022 (RM141.80), Januari 2023 (RM166.50), Februari 2023 (RM138.80), Mac 2023 (RM111.55), April 2023 (RM175.60) dan Mei 2023 (RM1,137.85).

Mk Mizi pula mempersoalkan respons daripada pegawai TNB yang terus-menerus membiarkannya menunggu jawapan berkaitan bil itu.

"Kepada TNB. Kenapa bil bulan Mei melambung begitu tinggi? Apabila saya buat aduan ditawarkan untuk pemeriksaan meter. Kakitangannya datang periksa kemudian beritahu meter okay dan jika untuk tindakan lanjut nanti ada pegawai hubungi.

"Tetapi sehingga hari ini tiada pegawai yang menghubungi saya yang sudah menunggu hampir sebulan tanpa sedar. Saya juga dah hubungi TNB dan emel berkali-kali, jawapan tetap sama dalam masa terdekat pegawainya akan hubungi saya. Berapa lama harus saya tunggu? Sampai bila>," katanya.

Ada juga komen yang mungkin bergurau seperti MoHd ArOy dengan komennya: "Boleh buat laporan polis ke pasal kes bil TNB tinggi ini? Mei punya bil macam tak logik. Penggunaan paling banyak RM170 maksimum dan diakui masa itu memang kerap guna ekon (penyaman udara). Mei punya bil ini cecah RM250 itu pun ekon guna sekejap. Orang lain ada cecah RM1,000. Naya betul."

Seorang pengguna lain dengan nama di akaunnya Bull Null pula katanya: "Tak boleh buat apa-apa. Kena diam dan terima dengan reda sahaja. Rakyat Malaysia kan semuanya T20. Apa nak dihairankan."

Terdahulu, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

"Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

"Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif)," katanya.

Musim perayaan, cuaca panas punca bil naik - TNB

Kuala Lumpur: Faktor musim perayaan dan cuaca panas menyebabkan peningkatan penggunaan tenaga elektrik.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, trend peningkatan berterusan ini dicatatkan dengan rekod tertinggi permintaan maksimum bekalan tenaga sebanyak 19,716 Megawatt (MW) dicatat pada 11 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, syarikat utiliti nasional itu berkata, penggunaan tenaga dikesan meningkat bagi peralatan seperti penyaman udara dan kipas.

TNB berkata, ia menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga bagi isi rumah seterusnya turut meningkatkan pengiraan bil.

Justeru, syarikat itu menyarankan kepada masyarakat untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah bagi peralatan elektrik yang digunakan bagi mengelak pembaziran dan kos yang tinggi.

Kata TNB, penjimatan penggunaan tenaga juga boleh membantu usaha menangani perubahan iklim serta kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon yang dijana oleh sumber bahan api fosil.

Disiarkan pada: June 23, 2023 @ 2:59pm
d