mutakhir

Universiti anjur konsert dikompaun RM25,000

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: Universiti awam di sini, yang menganjurkan konsert tanpa kebenaran dan video mengenainya tular di media sosial baru-baru ini dikompaun RM25,000.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, notis kompaun itu sudah diserahkan kepada pengurusan universiti itu, minggu lalu dengan tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

"Pengurusan universiti diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran kompaun dan tindakan seterusnya akan dikenakan jika gagal," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Pertandingan Menjala Sotong anjuran MBKT dan Koperasi MBKT (Kosmat) di Pantai Batu Rakit, semalam.

Penganjuran konsert itu tular di media sosial selepas memaparkan aksi lelaki dan wanita yang bercanggah dengan garis panduan syariah ditetapkan kerajaan negeri.

Siasatan turut mendapati ia tidak mendapat permit penganjuran daripada pihak berkuasa tempatan.

Disiarkan pada: June 24, 2023 @ 10:23am
d