mutakhir

'Abang janji nak balik hari ini'

Oleh Rosli Ilham

Kemaman: "Abang janji nak balik hari ini."

Hanya ayat itu yang terbit sayu di mulut Nur Faziera Izam, 29, ketika menyiram air mawar di pusara suaminya, Koperal Udara Syuib Bidin.

Syuib, 33, yang juga jurulatih di Instar, Pangkalan Udara Sendayan meninggal dunia selepas insiden bom lempar meletup ketika latihan di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam.

Nur Faziera yang sedih dengan kehilangan itu dilihat hanya mengalirkan air mata.

Dia mahupun ahli keluarganya bagaimanapun enggan ditemubual.

Jenazah Syuib selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapur Binjai, Kemaman kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu, jenazah diterbangkan dengan Helikopter EC75 milik Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) dari Kem 4 Rejimen Artileri Diraja Gemas dan mendarat di Kolej Vokasional Kemaman.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Binjai, Kemaman untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan dan turut diiringi Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.

Disiarkan pada: June 26, 2023 @ 2:50pm
d