mutakhir

Pelancong Singapura teruja sertai ibadah korban

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Seramai 25 pelancong Singapura merakam memori indah apabila berpeluang melakukan sendiri ibadah korban di Masjid Al Ansar, Kem Sri Pantai, Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Selain pelancong, Program Korban Komuniti 2023 itu turut disertai 70 pelajar luar negara antaranya dari Indonesia, Yaman, Algeria dan Bangladesh.

Pelancong, Mohd Nur Yusof, 62, berkata program berkenaan meninggalkan kenangan manis kepada ahli rombongan yang rata-rata pertama kali menyertainya.

Menurutnya, dia berpeluang menyembelih sendiri kambing selain membantu melapah dan memotong daging.

"Saya sudah menyertai beberapa program ibadah korban sebelum ini tetapi kami hanya sekadar menyumbang ternakan korban sahaja.

"Tetapi, program di sini berbeza kerana kami diberi peluang merasai sendiri bagaimana menyembelih dan melapah dan ianya adalah satu memori yang indah," katanya.

Penuntut sebuah universiti di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia, Moch Gilang Taufiqurrohman, 22, berkata dia sangat teruja kerana dipelawa untuk menyertai program berkenaan.

"Sangat meriah kerana program ibadah korban ini banyak melibatkan pelbagai pihak antaranya anggota tentera dan saya teruja kerana memberi pengalaman berharga sepanjang hidup," katanya.

Program anjuran Homestay Teluk Ketapang (HTK) dengan kerjasama Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) Kem Sri Pantai, Teluk Ketapang turut disertai pengurusan Masjid Al Ansar dan komuniti setempat.

Disiarkan pada: June 29, 2023 @ 3:13pm
d