mutakhir

Pengurusan kes Amelia bayar ganti rugi kepada A Aida ditetapkan 24 Julai

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Julai ini bagi pengurusan kes lanjut berhubung rayuan pelakon Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Perkara itu disahkan peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin hari ini.

Menurut peguam itu, tarikh pengurusan kes lanjut diberikan berikutan keseluruhan alasan penghakiman masih belum siap.

Sementara itu, peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu ketika dihubungi turut mengesahkan perkara sama.

Sebelum ini, Amelia, 27, memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan kes saman perlanggaran kontrak perjanjian selepas kemenangan berpihak kepada penerbit Datuk A Aida, 53.

Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi diasaskan A Aida iaitu A Aida Production Sdn Bhd.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia sudah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu "Aira" yang mana Amelia adalah heroin dalam drama itu.

Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A Aida Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Disiarkan pada: July 3, 2023 @ 3:07pm
d