mutakhir

Lelaki mengaku salah palsukan dokumen

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pemilik syarikat pembekalan pekerja didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas kesalahan menggunakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja palsu sebagai tulen pada 2001.

Mohd Azmi Mat Sah, 55, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan tertuduh dipenjara tambahan 12 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan sebagai tulen borang berkenaan atas nama Drazz Global Resources bertarikh 5 Jun 2021 dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat syarikat itu di Jalan Kristal Merah 2, Kompleks Perniagaan Limbongan, di sini, pada 5 Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengemukakan dokumen palsu itu atas nama Syarikat Drazz Global Resources selepas menghadiri pameran kerjaya Penjana di Terengganu melalui Sistem Penjana Kerjaya dan diluluskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 9 Julai 2021.

Hasil semakan atas semua penama yang diluluskan, PERKESO mendapati tiga penama bukan pekerja syarikat dan 63 lagi sudah berhenti sepanjang pembayaran Penjana 2.0.

Hasil penggunaan dokumen dengan maklumat palsu pekerja, wang Program Penjana 2.0 sebanyak RM267,4000 dibayar oleh PERKESO kepada tertuduh melalui enam transaksi ke akaun Maybank atas nama syarikat itu dan disalahgunakan hingga berbaki RM16,402.93 sahaja.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, Irwan Shah memohon mahkamah menimbangkan faktor kepentingan awam yang mana wang melebihi RM200,000 itu sepatutnya boleh disalurkan bagi keselamatan, kesihatan dan perlindungan pencarum lain.

Peguam bagaimanapun merayu hanya hukuman denda diberikan kerana tertuduh kini bekerja sebagai penceramah dan guru agama serta menanggung 50 pelajar tahfiz.

Dengan pengakuan tertuduh, pendakwaan memohon sembilan pertuduhan lain mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan 403 Kanun Keseksaan di Take Into Consideration (TIC) oleh mahkamah berdasarkan Seksyen 171 Kanun Prosedur Jenayah.

Wang RM16,402.93 di dalam akaun syarikat itu turut dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia selepas dipohon pendakwaan.

Pada 31 Januari lalu tertuduh mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan penyalahgunaan wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0 bernilai RM267,400.

Disiarkan pada: July 4, 2023 @ 2:40pm
d