mutakhir

Eva sangkal dakwaan sudah berpisah dengan Abang Viva

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Eva Noza Zakaria yang juga isteri wira banjir, Azwan Omar atau dikenali 'Abang Viva' menyangkal dakwaan sudah berpisah dengan suaminya itu.

Eva tampil menjelaskan dakwaan khabar angin itu menerusi perkongsian video di TikTok miliknya hari ini.

Dalam video berkenaan, Eva turut memuat naik laporan satu portal berita bertajuk 'Abang Viva dah berpisah? Abang Viva muat naik status buat netizen tertanya-tanya'.

Di ruangan kapsyen, Eva menyatakan penjelasan itu juga yang pertama dan terakhir berhubung isu berkenaan.

"Assalamualaikum...berkenaan dengan orang yang muat naik berita.

"Sebenarnya dah (sudah) lama, cuma tak tahu kenapa sampai hari ini orang masih tanya benda yang sama.

"Rasanya mulanya benda ini mulanya nampak kecil tapi diharap orang yang mengeluarkan cerita ini sedar akan kesahihan setiap cerita yang dikeluarkan," katanya.

Menurut Eva, dia dan suami enggan memperbesarkan isu dengan mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Eva mengingatkan pihak berkenaan supaya berhenti menyebarkan perkara tidak benar dan menurunkan berita dimuat naik kerana menganggapnya sebagai kerja yang sia-sia.

"Tak perlulah benda kecil nak saman sebab Eva berasa mungkin salah faham dan keduanya, ia petikan daripada sesetengah blog atau page (laman).

"Eva malas besarkan cerita, Eva harap sangat mereka yang post (muat naik) berkenaan story (berita) tak benar ini, sila turunkan posting (hantaran) anda sebelum orang lain salah faham, sebelum fitnah ini berleluasa.

"Kalau boleh 'post' (muat naik) lah benda yang berfaedah. Doalah yang baik-baik, Insya-Allah," katanya.

Terdahulu, tular berita di laman sosial mengenai desas-desus perpisahan Azwan, 31, dan Eva Noza.

Ia dipeprcayai susulan satu status dimuat naik wira banjir berkenaan yang menyebabkan segelintir netizen membuat andaian sendiri.

Menurut rekod, Azwan yang terkenal dengan aktiviti sukarela membantu mangsa banjir di negara ini diijabkabulkan dengan Eva Noza pada 14 Oktober tahun lalu.

Majlis pernikahan berlangsung secara ringkas di Pejabat Agama Islam Daerah Melaka Tengah di Ayer Keroh, Melaka dengan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua pasangan berkenaan.

Azwan sah menjadi suami Eva Noza menerusi sekali lafaz dengan mas kahwin RM150 dan wang hantaran RM8,888 dan sebentuk cincin serta beberapa hadiah iringan.

Disiarkan pada: July 9, 2023 @ 4:51pm
d