mutakhir

Mayat dua lelaki bertatu dalam bungkusan kanvas

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Mayat dua lelaki bertatu ditemui dalam bungkusan kanvas di kawasan semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini, hari ini.

Difahamkan, pemandu lori barangan runcit berusia 35 tahun menemui mayat itu ketika melalui lokasi kira-kira 9 pagi, sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian dikerah ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mayat pertama berbungkus dalam kanvas yang diikat dengan cabel tight dan tali. Mangsa lengkap berpakaian baju-T hitam dan berseluar jeans pendek.

"Mayat kedua juga dalam kanvas diletakkan bersebelahan mayat pertama, didapati tidak berpakaian dan hanya berseluar jeans pendek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, berdasarkan pemeriksaan fizikal mangsa dipercayai dibunuh dua atau tiga hari lalu di lokasi lain, sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan berkenaan.

"Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada kedua-dua mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu berhubung penemuan itu dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Muhather Abd Kudus di talian 013-288 4878 atau bilik gerakan IPD Melaka Tengah 06-284 1999.

Disiarkan pada: July 10, 2023 @ 4:00pm
d