mutakhir

'Mama rindu adik... bangunlah minum susu'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Mama rindu adik… bangunlah minum susu," demikian rintihan mengundang sebak Nur Fitri Basril apabila bayinya masih belum sedar selepas pembedahan membuang ketumbuhan bersaiz 10 sentimeter (cm), pagi semalam.

Nur Fitri, 29, adalah ibu kepada bayi berusia setahun 11 bulan, Muhammad Anaqi Fayyadh Abu Zar atau mesra disapa adik yang didiagnos ketumbuhan otak pada 21 Jun lalu.

Wanita itu berkata, kali terakhir dia menyusukan bayi lelakinya itu kira-kira 5 pagi semalam sebelum pembedahan dijalankan di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Katanya, sejak mengiringi bayinya ke dewan pembedahan 10 pagi semalam, dia masih tidak dapat melihat bayinya dan mengalami bengkak susu.

"Sejak itu saya alami bengkak susu dan setiap saat teringatkan adik.

"Saya rindu dan risaukan adik, mesti dia kehausan kerana setiap jam biasanya dia akan menyusu.

"Walaupun bengkak susu, saya tetap bertahan dan menunggu adik bangun kerana dia tidak mahu minum susu dalam botol," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Nur Fitri berkata, dia kini masih menunggu maklum balas daripada doktor mengenai keadaan dan perkembangan terkini anaknya itu.

"Saya dimaklumkan pembedahannya selesai kira-kira 7 malam semalam.

"Doktor terpaksa tidurkannya supaya dia boleh berehat kerana ada pendarahan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

"Kini, saya masih berdebar menunggu panggilan daripada doktor mengenai keadaan terkini adik. Harap sangat ada berita baik," katanya.

Katanya, dia mengharapkan rakyat Malaysia turut mendoakan kesembuhan serta keadaan kesihatan anak keduanya itu bertambah baik.

"Sebagai ibu saya tidak putus-putus berdoa mudah-mudahan ada keajaiban buat adik.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia sudi mendoakan untuk adik," katanya.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan kisah Muhammad Anaqi Fayyadh yang bukan hanya didiagnos penyakit itu, malah diuji dengan serangan angin ahmar pada bahagian kiri badannya.

Penderitaan bayi itu mula mendapat perhatian di TikTok selepas bapa saudaranya iaitu adik ipar Nur Fitri berkongsi video bayi itu memerlukan bantuan kos perubatan dengan anggaran kurang RM100,000.

Disiarkan pada: July 11, 2023 @ 1:25pm
d