mutakhir

Lekas jadi trek pilihan untuk tunjuk berani

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) di negeri ini dikenal pasti antara 'trek tunjuk berani' popular di kalangan kumpulan belia bermotosikal setiap minggu.

Lebuh raya sepanjang 44.3 kilometer (km) itu bermula dari Kajang Perdana Selangor akan melalui Nilai serta Seremban sebelum tamat di Paroi, di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepanjang 2023 sahaja, dua laporan kes kemalangan maut membabitkan kumpulan penunggang motosikal direkodkan di laluan berkenaan.

"Selain laluan Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), Lebuhraya Lekas antara lokasi yang dikesan menjadi pilihan kumpulan 'mat rempit'. Lebuhraya Lekas yang melalui negeri ini bermula dari Kilometer (km) 13.7 hingga km 43.

"Bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 127 kemalangan dilaporkan dengan dua daripadanya membabitkan 'mat rempit'. Kedua-duanya adalah kemalangan maut dengan masing-masing meragut satu nyawa," katanya tadi.

Beliau berkata, menyedari situasi itu, pelbagai usaha dijalankan pihak polis dalam mengekang aktiviti samseng jalanan di sepanjang lebuh raya berkenaan.

"Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 11 operasi dijalankan terutama Op Cegah Samseng Jalanan di laluan itu. Sebanyak 444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal.

"Manakala sebanyak 20 motosikal disita daripada operasi berkenaan dengan seorang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, penunggang motosikal yang menunggang dan memotong secara 'zig-zag' melanggar undang-undang di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu.

"Jika disabitkan kesalahan, pemandu atau penunggang boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000. Jika pemandu adalah pemegang lesen memandu percubaan (P), lesen boleh dibatalkan.

"Bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda minimum RM10,000, maksimum RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun," katanya.

Justeru beliau berkata, polis Kontinjen Negeri Sembilan akan terus melaksanakan operasi bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang menggusarkan masyarakat.

"Selain itu, semua pengguna jalan raya diminta memandu dengan berhati-hati dan patuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.

"Saya juga menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak masing-masing terutama yang menggunakan motosikal kerana kebanyakan yang terbabit dengan 'mat rempit' ini terdiri daripada remaja berusia 16 tahun hingga awal 20-an," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2023 @ 3:16pm
d