mutakhir

Kanak-kanak cedera didera ibu tiri

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Tidak tahan menanggung kesakitan, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di bandar ini bertindak mengadu perbuatan kejam ibu tirinya itu kepada seorang guru.

Pelajar berusia 9 tahun itu mengadu dia dipukul ibu tirinya yang berusia 30 tahun kepada seorang guru wanita ketika sesi perhimpunan di sekolahnya pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, guru penolong kanan meminta seorang guru perempuan membuat pemeriksaan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, guru perempuan itu sangat terkejut apabila mendapati bahagian belakang mangsa cedera dan lebam dipercayai dipukul dengan objek keras.

"Polis yang menerima laporan kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

"Siasatan mendapati berlaku 11 kesan pukulan di bahagian belakang mangsa serta kesan lebam dan cedera di bahagian tangan kanan serta di bahagian kedua-dua belah peha," katanya.

Baharudin berkata, kejadian itu dikatakan berlaku di rumah dan perbuatan suspek terhadap mangsa disaksikan kakak mangsa berusia 15 tahun yang juga OKU lembam.

"Mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik hasil perkahwinan bapanya dengan arwah ibu mereka.

"Berikutan kejadian itu, suspek ditahan polis di rumahnya pada hari yang sama kira-kira jam 3.30 petang untuk siasatan lanjut dan tempoh remannya akan berakhir esok," katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai bertindak demikian disebabkan mangsa gagal memahami pembelajaran latihan yang diajar oleh suspek beberapa hari sebelum mangsa mengadu kepada gurunya.

"Mangsa juga mendakwa sebelum itu pernah dipukul dengan rotan tetapi tidak seteruk pada hari kejadian.

"Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak - Kanak 2001," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2023 @ 6:10pm
d