mutakhir

Jangan benarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di masjid, surau

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan bahawa masih terdapat pentadbir masjid dan surau yang mengambil ringan dengan membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan masjid.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan dan pemerhatian jabatan itu, terdapat juga pentadbir masjid dan surau membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan kawasan rumah ibadat orang Islam untuk tujuan politik.

Beliau berkata, ia adalah suatu perbuatan yang jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen serta pengaruh politik kepartian.

Justeru katanya, pentadbir masjid dan surau seluruh negeri ini diingatkan untuk mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan kesemua larangan yang ditetapkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

"Tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses PRN dengan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid dan surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan Mais.

"Adalah diingatkan, Sultan Selangor sejak tahun 2018 sudah bertitah agar masjid dan surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, ketetapan Mais berhubung perkara itu juga masih berkuat kuasa.

Katanya, sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Pegawai masjid juga boleh, dalam masa yang sama dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2023 @ 12:53am
d