mutakhir

7 ejen kastam disyaki bersubahat dengan pemilik kereta mewah

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tujuh ejen kastam ditahan kerana disyaki bersubahat dengan pemilik kereta mewah untuk mengurangkan duti mencecah RM33 juta secara tidak sah.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia 30-an hingga 60-an ditahan antara 5 petang ke 10.30 malam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di Alor Setar, semalam.

"Ejen kastam berkenaan dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam sedangkan kenderaan berkenaan tidak layak.

"Dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM juga membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah," katanya, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Disiarkan pada: July 14, 2023 @ 3:54pm
d