mutakhir

Lebih 6,000 suri rumah di Melaka mencarum SKSSR

Oleh BERNAMA

Alor Gajah: Seramai 6,318 orang suri rumah di Melaka mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan dijangka lebih ramai golongan itu akan menyertainya.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka Abd Razak Omar berkata ia berikutan pelbagai kempen kesedaran sedang giat dilaksanakan di peringkat negeri.

"Kita mahu lebih ramai suri rumah sedar mengenai kepentingan caruman ini bagi mendapatkan perlindungan terhadap kemalangan atau kematian demi kesejahteraan mereka dan keluarga mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Outreach and CSR Perkeso 2023 di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari.

Beliau berkata seramai 179, 607 suri rumah di seluruh negara telah berdaftar di bawah skim itu sepanjang 1 Disember 2022 hingga 10 Julai lalu.

Sementara itu, katanya seramai 16,668 orang mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Melaka setakat 9 Julai lalu dan mereka layak menerima insentif Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) serta hanya perlu membayar 20 peratus daripada caruman Pelan 2 SKSPS.

Abd Razak berkata pihaknya turut mendapati 25 peratus majikan di negeri ini masih gagal mencarumkan pekerja di bawah Perkeso dan memberi amaran bahawa mereka boleh dikenakan kompaun di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Selain itu, Adly berkata Parlimen Alor Gajah menerusi program outreach berkenaan menaja 100 orang suri rumah daripada golongan asnaf bagi inisiatif SKSSR dan 30 Orang Asli untuk SKSPS.

Katanya golongan yang tidak berkemampuan perlu diberi perhatian dan perlindungan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Disiarkan pada: July 15, 2023 @ 6:07pm
d