mutakhir

KKM siasat dakwaan tangan bayi bengkak, bernanah di Hospital Melaka

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti serta menyiasat dakwaan tangan bayi berusia dua bulan bengkak dan bernanah selepas menerima rawatan demam campak di Hospital Melaka.

Menterinya, Zaliha Mustafa berkata, kemungkinan ia berlaku disebabkan prosedur biasa dan bukan semua kes boleh diletakkan di bawah 'medical legal'.

"Sebenarnya kita kena tengok juga kes yang bagaimana, bukan semua kes boleh diletakkan di bawah 'medical legal' kadang-kadang ia disebabkan prosedur biasa.

"Contoh bengkak tangan akibat daripada prosedur injection (suntikan) itu adalah biasa dan kita akan beri rawatan yang sepatutnya kepada pesakit," katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki mendakwa tangan anak saudaranya berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM) baru-baru ini.

Individu dikenali Mohamad Izwan memuat naik hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku kecuaian oleh kakitangan HM ketika memberikan rawatan.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada pihak hospital untuk memulakan siasatan secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia di sebuah hospital di Pahang, Zaliha berkata, siasatan dalam berhubung kes itu sedang dilakukan.

"Bagi kes di Pahang, kenyataan sudah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP)," katanya.

Terdahulu, JKNP memberi jaminan bagi menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular di media sosial semalam.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, punca kematian kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penyakit lewat perkembangan dan 'congenital laryngomalacia' juga masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: July 18, 2023 @ 1:37pm
d