mutakhir

Sanusi didakwa ikut Akta Hasutan sebab sentuh martabat diraja - Anwar

Oleh Ahmad Suhael Adnan dan Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan penggunaan Akta Hasutan 1948 bagi mendakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor kerana kenyataan Menteri Besar Kedah itu menyentuh kedudukan dan martabat institusi diraja.

Pada masa sama, Perdana Menteri menafikan dakwaan mengatakan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi bagi melumpuhkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Anwar berkata, secara umumnya beliau tidak mahu Akta Hasutan digunakan dalam pendakwaan di mahkamah, dengan menegaskan undang-undang itu tidak akan digunakan, jika membabitkan kritikan terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, ucapan Muhammad Sanusi minggu lalu menyentuh kedudukan dan martabat golongan diraja yang perlu dipertahan, bagi mengelak ia menjadi perbahasan politik yang tidak sihat.

"Ya. Saya dari segi dasarnya, kita elak penggunaan Akta Hasutan. Tapi ini bila menyentuh kedudukan raja-raja.

"Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai satu alasan tapi ini soal kedudukan dan martabat raja-raja yang harus kita sanjung dan elak daripada menjadi satu wacana perbahasan politik yang tidak sihat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas penggunaan Akta Hasutan 1948 dalam pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Disiarkan pada: July 18, 2023 @ 2:22pm
d