mutakhir

'Cukuplah dua penggal Hasnul jadi Adun Morib, bagi peluang muka baru'

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Langat menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Ketua Amanah Kuala Langat, Mohd Safiee Harun berkata, ini disebabkan Hasnul sudah menjadi Adun Morib selama dua penggal dari 2013 hingga 2023.

"Satu kerusi pilihan raya itu bukanlah hak mutlak individu tertentu terus bertanding sehingga menafikan bakat kepimpinan individu lain untuk diketengahkan bagi memberikan khidmat buat rakyat.

"Cukuplah dua penggal peluang diberikan kepada bekas Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

"Kami berpendirian parti perlulah menampilkan muka baru yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat, lebih-lebih lagi suasana politik negara yang berubah kepada trend politik baru yang lebih terbuka dan pantas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Safiee berkata, pihaknya turut yakin rakyat hanya memberikan peluang kepada seseorang wakil rakyat berkhidmat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib maksimum untuk dua penggal saja.

"Rakyat pastinya mahukan sentuhan keprihatinan dan idea wakil rakyat baru yang lebih prihatin dan efisien.

"Kami juga yakin parti ini tidak ketandusan pelapis kepimpinan berkaliber yang mampu menjadi pemimpin dengan lebih baik.

"Ruang dan peluang perlu diberikan kepada calon muka baru bagi dipertaruhkan di Morib," katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Hasnul memperoleh majoriti 2,117 undi mengalahkan dua calon lain Rozana Kamarulzaman (BN) dan Dr Mohd Sallehudin Hafiz (Pas).

Disiarkan pada: July 20, 2023 @ 3:55pm
d