mutakhir

Selangor sasar sedia 1,000 pengecas EV

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan kira-kira 1,000 pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian berkata, setakat ini terdapat 102 pengecas EV di seluruh negeri ini dan perbincangan sedang giat dijalankan untuk memperbanyakkan lagi kemudahan itu.

"Selangor menyasarkan untuk membangunkan 1,000 pengecas EV di kawasan PBT terutamanya di Shah Alam; Petaling Jaya; Subang Jaya; Klang; Kajang serta Ampang Jaya.

"Usaha sedang digiatkan untuk mencapai sasaran itu dan kita juga sudah mengadakan bengkel untuk semua 12 PBT bagi pelaksanaan dan proses kutipan caj yang akan diselaraskan dengan menggunakan aplikasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2023, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangunan pengecas EV membabitkan kerjasama dengan pihak swasta dan tidak akan membabitkan peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, pembangunan lebih banyak pengecas EV adalah penting dalam usaha kerajaan negeri mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 45 peratus pada 2030 dan sifar karbon pada 2050.

"Kita kena mulakan daripada sekarang jika ingin mencapai sasaran pengurangan pengeluaran karbon," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2023 @ 4:31pm
d