mutakhir

'Saya reda dengan ujian ini'

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Saya reda dengan ujian ini," kata Sarina Mohd Zulkefli, 34, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani rawatan hemodialisis secepat mungkin.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dia hanya mengetahui bahawa fungsi buah pinggangnya hanya 20 peratus selepas diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh majikan dua tahun lalu.

Dia kini terpaksa berhenti kerja kilang sejak setahun lalu dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suaminya Zolkepli Sabtu, 36, yang bekerja sebagai juru teknik di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, tiada simptom dialami sebelum ini selain kerap berasa letih.

"Setakat ini doktor membekalkan saya ubat untuk melambatkan kerosakan. Baru-baru ini bacaan kreatinin (ukuran tahap fungsi buah pinggang) adalah tidak normal.

"Bagi mengelakkan sebarang risiko, doktor menasihatkan supaya saya menjalani hemodialisis secepat mungkin dan akan bermula minggu ini," katanya.

Dia kini buntu kerana kos setiap kali rawatan hemodialisis adalah RM200 dan perlu menanggung sepenuhnya pada peringkat awal.

"Kami menunggu kelulusan bantuan Baitulmal dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).

"Difahamkan kami masih perlu mengeluarkan kos RM30 setiap kali rawatan iaitu RM360 sebulan.

"Selain perlu menanggung tiga anak iaitu Siti Hajar, 14; Hani Darina,11 dan Khalish Iman, 8, kami perlu bayar sewa rumah RM240 sebulan.

"Bagi membuat tapak rawatan hemodialisis di tangan, saya menerima bantuan RM4,800 dari Baitulmal selain bantuan persekolahan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM450," katanya yang tinggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setia, Taman Setia Indah di sini hari ini.

Sarina berkata demikian selepas menerima sumbangan barangan dapur daripada Pasaraya Econsave Cash and Carry di sini hari ini.

Sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam.

Orang ramai yang ingin meringankan beban Sarina boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 151539153493.

Disiarkan pada: July 23, 2023 @ 7:26pm
d