mutakhir

Majikan beri pelbagai alasan gagal carum pekerja

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kesibukan menguruskan perniagaan antara alasan yang diberikan majikan apabila gagal mendaftar dan mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, alasan itu tidak boleh diterima kerana setiap majikan perlu berbuat demikian walaupun hanya mempunyai seorang pekerja.

Menurutnya, tindakan kompaun terhadap majikan ingkar dikeluarkan untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan terutama dalam melindungi hak pekerja.

"Majikan yang mempunyai seorang pekerja yang bergaji adalah wajib mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.

"Ada majikan yang mengambil anak, adik-beradik serta saudara mara sebagai pekerja dan didapati tidak berdaftar.

"Sepatutnya majikan yang ada pertalian darah ini perlu mendaftar dan mencarum dengan Perkeso untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja terjamin," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Ops Kesan, di sini, hari ini.

Operasi itu turut membabitkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melakukan pemeriksaan di 11 lokasi di daerah ini.

Menurutnya, dalam operasi itu, sebanyak 33 daripada 108 majikan dikenakan tindakan kompaun dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM29,500.

Katanya, penguatkuasaan dibuat mengikut Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14 serta Seksyen 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

"Majikan yang dikesan gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 boleh dikenakan kompaun antara RM500 dan RM4,000 mengikut kesalahan yang dilakukan sekiranya masih ingkar," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2023 @ 3:43pm
d