mutakhir

PRN 2023: Daud Leong cuba nasib sekali lagi

Oleh Samadi Ahmad

Cyberjaya: Calon Parti Utama Rakyat, Datuk Mohd Daud Leong Abdullah, 58, membuat cubaan kedua untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dengkil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15.

Beliau antara calon yang awal hadir di luar kawasan Dewan Semarak di sini, bagi penamaan calon yang akan dibuka pada 9 pagi.

Daud hadir di luar perkarangan dewan pada 8 pagi diiringi beberapa penyokong dengan membawa bendera parti itu.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, PRN ini adalah percubaan kali keduanya baginya untuk bertanding di kawasan itu selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Sepang.

Menurutnya, seperti sebelum ini, beliau masih menawarkan tidak mengambil gaji sepanjang menjadi wakil rakyat sekiranya menang pada PRN ini.

Katanya, beliau juga sudah memulakan kerja di kawasan Dengkil sejak empat tahun lalu dengan menyantuni rakyat dan menawarkan guaman percuma kepada individu yang memerlukan.

"Walaupun menerima kekalahan teruk pada PRU-15 itu tidak mematahkan semangat saya kerana masih ingin mencurahkan bakti kepada penduduk di kawasan ini," katanya ketika ditemui di luar kawasan dewan.

Setakat ini, dilaporkan, dua calon lain akan bertanding bagi kerusi Dun Dengkil terdiri daripada calon Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan yang mencalonkan Pengerusi BN Sepang, Noorazli Said.

Selain itu, Perikatan Nasional (PN), mencalonkan wakil Bersatu iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh.

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 9:03am
d