mutakhir

Pengasuh tular dera kanak-kanak dipenjara 12 bulan

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pengasuh wanita yang ditahan selepas video dia memukul kanak-kanak di taska tular baru-baru ini, dihukum penjara 12 bulan.

Hukuman ke atas Melona Eva Ezwa Musah, 27, diputuskan Hakim Amir Syah Amir Hassan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh juga dikenakan hukuman penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda RM10,000, selain mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik terhadapnya selama dua tahun.

Terdahulu, Melona Eva Ezwa mengaku bersalah terhadap tuduhan menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Dia melakukan kesalahan itu antara 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos lalu di sebuah taska di Penampang dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.

Peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan, dengan mengambil kira anak guamnya sudah 'dihukum' apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan selepas video perbuatannya tersebar di media sosial.

"Dengan mengaku bersalah juga, tertuduh telah menyelesaikan kes itu seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya dan jika hukuman lebih berat dikenakan, ini telah 'mengalahkan' tujuan itu.

"Mitigasi ini bukan bermaksud yang tertuduh tidak bertanggungjawab atas kesalahannya, tetapi hanyalah untuk dia diberi peluang kedua," katanya yang memberitahu kes itu juga sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Disiarkan pada: August 23, 2023 @ 5:31pm
d