mutakhir

Gunung Sinsing puncak ke-3 tertinggi di Malaysia

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Jabatan Perhutanan Sabah mengesahkan bahawa Gunung Sinsing yang terletak di daerah Tambunan adalah puncak ketiga tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 2,586 min aras laut (MSL).

Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan berkata, data ketinggian Gunung Sinsing itu diperolehi melalui ekspedisi sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok dan wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan pada 10 Mei lalu.

Beliau berkata, data ketinggian Gunung Sinsing itu dicerap menggunakan peralatan penerima data sistem satelit navigasi global yang tepat, iaitu Stonex S900A Global Satellite System (GNSS).

"Data cerapan itu yang direkod kemudiannya diproses oleh juruukur berdaftar untuk menentusahkan ketinggian sebenar Gunung Sinsing dari min aras laut.

"Dengan menggunakan kaedah ini, didapati ketinggian Gunung Sinsing adalah 2,586 MSL sekali gus mengekalkan statusnya sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Gunung Sinsing menarik perhatian orang ramai sejak 2018 apabila diuar-uarkan di media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo, selepas Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,096 meter dan Gunung Trusmadi juga di negeri ini dengan ketinggian 2,643 meter.

Frederick berkata, Jabatan Perhutanan Sabah akan meneruskan usahanya untuk melindungi kawasan yang berkepentingan seperti Gunung Sinsing yang berhampiran dengan Gunung Trusmadi dan merupakan habitat pelbagai spesis flora dan fauna.

Disiarkan pada: August 25, 2023 @ 1:23pm
d