mutakhir

Serang pekerja kedai makan, 2 lelaki ditahan

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Kerana lambat menghantar minuman, seorang lelaki membelasah pekerja kedai makan menggunakan topi keledar dan cota di Jalan Perhentian Haji Salleh, Sentul di sini, hari ini.

Kejadian berlaku ketika kedai makan itu baru memulakan perniagaan kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek yang dikenali mangsa ke premis itu dan memesan minuman.

"Memandangkan gerai baru sahaja dibuka, pekerja wanita memberitahu pesanan tidak dapat dibuat dengan segera, menyebabkan suspek memaki hamunnya.

"Suspek beredar selepas pesanannya diambil, namun kembali semula 30 minit kemudian dan memaki hamun pemilik gerai, selain memukul kepala pekerja dengan penyapu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pekerja wanita berusia 44 tahun membuat laporan polis pada 8.03 pagi, tetapi selepas selesai urusan kira-kira 8.30 pagi, suspek sekali lagi ke premis itu bersama rakan serta menyerang dua pekerja.

"Suspek juga merosakkan peralatan di gerai tersebut menyebabkan kerugian RM12,000 dan mangsa yang ketakutan terus menghubungi talian 999.

"Anggota kereta peronda (MPV) dihantar ke tempat kejadian dan berjaya memberkas kedua-dua suspek di kedai bersebelahan lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis merampas beberapa objek dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk cota dan topi keledar berwarna biru.

Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi tiada rekod.

"Ketika kejadian, suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan)dan 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat)," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2023 @ 11:32pm
d