mutakhir

Waris penghantar makanan nahas Elmina terima pencen bulanan Perkeso RM1,894.75

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Waris penghantar makanan nahas Elmina, Muhammad Hafiz Muhamad Salleh akan menerima dua bayaran pencen bulanan Perkeso berjumlah RM1,894.75 bermula September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bayaran bermula dari tarikh Muhamad Hafiz meninggal dunia dalam tragedi itu pada 17 Ogos lalu.

"Kali terakhir rekod caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerja ketika berkhidmat di syarikat logistik Akta 4 dengan kali terakhir Jun 2021, manakala kedua melalui Akta 789 sejak 10 Mei 2021 di bawah inisiatif kerajaan.

"Mangsa meninggal ketika mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri melayakkan mangsa menerima faedah RM1,116.

"Namun, semakan Perkeso mendapati, beliau turut memiliki kelayakan Pencen Penakat RM778.75 dengan rekod caruman terakhir pada Jun 2021 sewaktu berkhidmat di syarikat logistik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz di rumah mereka di Taman Sidam Kiri, di sini hari dan menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FDM) berjumlah RM2,000.

Dr Mohammed Azman berkata, bayaran sebanyak RM1,894.75 itu akan diterima bapa dan ibu Muhammad Hafiz iaitu Muhamad Salleh Othman, 57, serta Jamilah Ismail, 53, dan adiknya, Muhammad Hamidi, 20.

"Sepatutnya semua pemandu e-hailing dan p-hailing mengambil iktibar dengan kemalangan yang berlaku kerana kita pun tak sangka dan malang tidak berbau.

"Berdasarkan rekod Perkeso, jumlah pengangkutan penumpang yang aktif di negara ini adalah 700,704 orang tetapi yang mendaftar dengan Perkeso hanya 208,818 orang atau 29.8 peratus saja," katanya.

Dalam insiden 2.50 petang itu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie, Shah Alam, Selangor.

Disiarkan pada: August 28, 2023 @ 3:07pm
d