mutakhir

Abdul Hadi akan dipanggil, ada unsur 3R dalam ceramah pilihan raya - Bukit Aman

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan akan memanggil Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung ceramahnya di kawasan Bakri, Muar di Johor yang didapati menyentuh isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja), Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia susulan kenyataan Abdul Hadi mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja.

"Saya sahkan pihak JSJ sudah menghubungi (Abdul Hadi) untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Ia bagi mendapatkan masa yang sesuai untuk rakaman percakapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sementara siasatan lanjut dijalankan.

"Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Dalam suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, semua pemimpin-pemimpin parti politik dan orang ramai diingatkan untuk tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan 3R," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Abdul Hadi akan dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dilapor berkata, pihaknya dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk mendapatkan keterangan daripada Abdul Hadi.

Beliau dipetik berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Abdul Hadi dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Sementara itu Mohd Shuhaily berkata sebanyak 88 laporan berhubung isu 3R diterima pihaknya dalam tempoh Januari sehingga Julai.

"Terlalu banyak kes (3R) setakat ini. Kebanyakan daripada kita berpendidikan dan cukup matang, jadi jangan (buat) hantaran di media sosial yang ada implikasi undang-undang.

"Kejahilan dalam undang-undang bukan alasan, selagi ada implikasi undang-undang dan ada laporan, polis akan siasat dan bawa ke muka pengadilan," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2023 @ 5:32pm
d