mutakhir

Seorang mangsa lemas di pantai Teluk Batik meninggal dunia

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Pengunjung wanita yang lemas dalam insiden bot rekreasi terbalik di Pantai Teluk Batik, di sini, semalam meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, mangsa Nurul Afiqah Abdullah, 34, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, di sini, pada 4.48 pagi tadi.

Sementara itu, adik mangsa Khairul Naim menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan jenazah Nurul Afiqah akan dibawa pulang ke kampung mereka di Bagan Tiang, Parit Buntar dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Semalam, tujuh pengunjung bersama dua petugas bot rekreasi menghadapi detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka terbalik ketika cuba menurunkan penumpang di tepi pantai peranginan berkenaan.

Bagaimanapun, dua pengunjung iaitu seorang lelaki berusia 17 tahun dan wanita berusia 34 berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Hospital Seri Manjung dan ditempatkan di zon merah.

Disiarkan pada: August 29, 2023 @ 10:53am
d