mutakhir

Nombor pendaftaran istimewa M....M sempena Hari Kebangsaan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) bermula huruf M diikuti nombor dan berakhir sekali lagi dengan huruf M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bidaan itu dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

"NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks prefiks M di hadapan dan sufiks M di belakang iaitu siri M (nombor) M.

"Tanda indeks nombor istimewa ini dipilih dengan membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nombor pendaftaran istimewa M....M ini bermaksud Malaysia Merdeka atau Malaysia Madani.

Loke berkata, tarikh tutup bidaan nombor pendaftaran istimewa itu adalah pada 4 September dan tarikh keputusan akan diumumkan pada keesokannya.

Katanya, kaedah penawaran bidaan itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu bagi nombor bernilai utama bermula daripada RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

"Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

"Saya berharap melalui bidaan ini, dapat menjana pulangan yang tinggi kepada kerajaan," katanya.

Menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini, JPJ berhasil mendapat pulangan sebanyak RM34.2 juta.

Disiarkan pada: August 29, 2023 @ 4:40pm
d