mutakhir

JKNS siasat dakwaan pesakit meninggal akibat tidak mendapat rawatan

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyiasat dakwaan berkaitan kegagalan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran di sini, memberikan rawatan yang tepat kepada seorang pesakit dan individu itu kemudian dilaporkan meninggal dunia.

Pengarahnya, Dr Asits Sanna berkata, JKNS memandang serius isu pengurusan pesakit terbabit yang tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, JKNS juga mengambil perhatian terhadap semua maklum balas yang diterima berhubung kes itu selain memastikan siasatan terperinci dan telus dijalankan.

"Satu siasatan terperinci dan telus berhubung perkara itu kini dijalankan.

"Selepas itu, satu pertemuan bersama pihak keluarga juga akan diadakan bagi membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung seorang pesakit yang dibenarkan pulang selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan yang serius oleh hospital berkenaan, sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga arwah pesakit terbabit berkata, beliau dimaklumkan bahawa pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang selepas menjalani pemeriksaan.

Katanya, sebelum itu, arwah pesakit terbabit dibawa ke Hospital Tuaran yang terletak berdekatan denga n rumahnya selepas mengalami rasa sakit akibat terjatuh.

Disiarkan pada: August 1, 2023 @ 9:40am
d