mutakhir

Didakwa tak bayar dividen ladang getah, calon DUN Bayu ajak Orang Asli bersemuka

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Baling: Seramai 43 peserta ladang getah masyarakat Orang Asli suku Kensiu di Kampung Lubuk Legong di sini kecewa apabila tidak lagi menerima bayaran dividen hasil komoditi itu sejak hampir dua tahun lalu.

Tok Batin kampung itu, Razali Kulim, 42, berkata bayaran dividen kepada peserta tertunggak sejak Ogos 2021 dengan perjanjian bayaran bersama syarikat pengurusan sepatutnya adalah RM300 sebulan.

"Syarikat terbabit mengusahakan ladang getah seluas 173 hektar sejak 2012 dan kami mendapat bayaran yang dijanjikan iaitu RM150 tunai serta RM150 lagi dalam bentuk bakul makanan setiap bulan, tapi selepas Ogos 2021 kami tak terima apa-apa bayaran.

"Kami tak dimaklumkan, senyap begitu sahaja, saya sendiri tidak diberitahu yang kami terkilan getah sekerap keluar tapi kami tak dapat bayaran.

"Awal bulan lalu, diadakan mesyuarat di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Grik, Perak dan kami dipanggil bersama pengurusan syarikat yang memaklumkan mereka akan selesaikan dalam tempoh seminggu tapi senyap hingga hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama penduduk kampung berkenaan di sini, semalam.

Razali berkata, akibat tidak mendapat sebarang perkhabaran daripada syarikat terbabit, pihaknya membuat laporan polis kali kedua semalam, selepas laporan pertama dibuat pada 3 Mei lalu kerana syarikat terbabit melanggar perjanjian kontrak.

Katanya peserta hanya mahukan hak mereka untuk kelangsungan hidup apatah lagi kebanyakan ketua keluarga di kampung itu menampung hidup dengan mencari hasil hutan dan berpendapatan tidak menentu.

"Walaupun duit itu cuma RM150 dan makanan, tapi ia sememangnya banyak membantu kami, kami guna duit itu untuk perkara asas sahaja dan perbelanjaan anak ke sekolah bukan untuk bergaya beli kereta dan sebagainya.

"Majoriti kami bekerja cari rotan dan ada juga ambil upah menebas dan buat rumah, hasil ladang itu satu-satunya pendapatan tetap yang ada sebelum ini, ia memang memberi kesan besar kepada kehidupan kami," katanya.

Seorang peserta, Ridzuan Yusoh, 30, berkata terpaksa menyara keluarga dengan mengambil upah mesin rumput di tepi jalan dengan pendapatan RM70 sehari, namun hanya dapat berkerja hanya seminggu dalam tempoh sebulan.

"Kami bergilir-gilir kerja, jadi pendapatan saya tidak sampai RM500 sebulan, selama ini duit dividen ini banyak membantu, tapi sekarang sudah tidak dibayar.

"Saya harap syarikat terbabit akan membayar dividen kami dengan segera, kami memang sangat perlukan duit itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bayu Rimba Enterprise, Mohd Taufik Yaacob yang juga calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bayu berkata, beliau mengambilalih pengurusan ladang getah terbabit selepas terbiar pada 2010.

"Tok Batin berjumpa dengan saya ketika itu dan minta agar saya bantu menguruskan ladang berkenaan, saya keluarkan modal sendiri RM1.7 juta untuk buat pelaburan membangunkan tanah Orang Asli bagi fasa satu dan fasa dua.

"Kira-kira RM700,000 dividen dibayar kepada peserta bermula 2017, sebab masa itu harga getah tinggi, jadi saya berusaha membayar dividen kepada mereka.

"Selepas negara dilanda Covid- 19, pengurusan ladang terhenti, kilang tak buka, pekerja tak keluar menoreh, tiada produktiviti, tetapi saya bayar juga dividen atas ihsan saya," katanya.

Mohd Taufik berkata, ladang bagaimanapun tidak dapat diuruskan selepas Covid-19 kerana tiada pekerja yang mahu menoreh selain kejatuhan harga pasaran getah.

"Perbincangan dibuat namun tiada yang mahu menoreh, Orang Asli juga tiada yang mahu menoreh walaupun mereka akan menerima gaji dan juga dividen, ini menyebabkan ladang terbiar.

"Saya yang keluarkan modal melabur dalam projek ladang, untung belum dapat, saya mahu bantu membangunkan tanah Orang Asli, memajukan ekonomi dan membantu mereka tetapi akhirnya dituduh begini sedangkan mereka boleh sahaja berjumpa saya terus, tak perlu melalui media," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2023 @ 11:23am
d