mutakhir

RM3.6 juta bayaran Faedah Pengurusan Jenazah setakat 31 Julai lalu

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin membelanjakan hampir RM3.6 juta bagi menyelesaikan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah di negara ini sejak Januari sehingga 31 Julai lalu.

Ketua Cawangan Skuad Prihatin Perkeso Bahagian Sinergi, Rosmasita Mohamed berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menerima 2,889 laporan membabitkan kes kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah tiga negeri paling tinggi menerima bayaran faedah ini.

"Daripada jumlah itu, kita berjaya menyelesaikan sebanyak 1,798 kes Faedah Pengurusan Jenazah membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

"Malah, tiga negeri tertinggi iaitu Selangor (289 kes) diikuti Kuala Lumpur (205 kes) dan Pulau Pinang (205 kes) dengan bayaran bayaran faedah pengurusan jenazah daripada kes Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan," katanya.

Rosmasita berkata, pihaknya juga mengambil tindakan awal terhadap kes kemalangan yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

Menurutnya, pihaknya kini dapat bertindak cepat selepas memperoleh maklumat sama ada yang tersiar di media cetak, media elektronik, media sosial, pemimpin masyarakat dan maklumat daripada orang ramai.

"Tindakan awal yang dimaksudkan ialah membuat siasatan awal bagi kes-kes maut dan pembayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM)," katanya.

Ditanya kes di Terengganu, Rosmasita berkata sebanyak 93 kes diambil tindakan awal yang layak menerima bayaran daripada Perkeso.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes membabitkan bayaran berjumlah RM94,000 yang layak menerima Faedah Pengurusan Mayat di bawah Perkeso," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2023 @ 2:26pm
d