mutakhir

Perkeso bantu lebih 44,000 orang kembali bekerja

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah membantu sebanyak 63,399 kes bermotivasi terdiri daripada pesakit fizikal dan mental menerusi program 'Return to Work' (RTW) di seluruh negara sejak 2020 sehingga Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah itu, seramai 44,154 orang berinsurans (OB) berjaya kembali bekerja semula.

Menurutnya, program RTW bukan sahaja mengembalikan semula pekerja yang sudah direhabilitasi susulan hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit, malah membantu mereka yang mengalami masalah psikiatri kembali produktif dalam dunia pekerjaan.

"Ia dilaksanakan secara kerjasama dengan hospital-hospital di Malaysia menerusi Program Restart (Re-employment Support, Treatment and Rehabilitation Team).

"Restart adalah usaha kerjasama Cawangan RTW Perkeso dengan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari) dan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Menerusi kerjasama ini, pesakit dibantu melalui program RTW dan Program Sokongan Pekerjaan Mentari sehingga mereka dapat berdikari dalam pelbagai segi dan mampu bekerja semula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan Peralatan Bengkel Tajaan Program Cakna Prihatin di Kampung Hutan Banggol, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob.

Terdahulu, beliau menyerahkan peralatan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4,060 kepada Tengku Mohamad Amirul Akmal yang mengusahakan bengkel kereta.

Mohammed Azman berkata, sehingga kini hampir 30 hospital kerajaan termasuk lima di Kelantan menjalinkan kerjasama dengan program RTW menerusi Restart.

"Perkeso komited dalam mengembalikan hak pesakit mental sebagai individu yang berhak mendapat peluang untuk bekerja dan memperoleh mata pencarian," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 3:55pm
d