mutakhir

Tidak sanggup beritahu dua beradik sudah yatim piatu

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Dua beradik yang kehilangan ibu bapa dan adik dalam tragedi kereta dihempap pokok, semalam hanya mengetahui mereka bergelar yatim piatu selepas 22 jam kejadian berlaku.

Nenek mereka, Amnah Ismail, 64 berkata, ahli keluarga tidak sanggup untuk memberitahu Nik Adilia Zulaikha Nik Mohd Zulmi, 11, dan Nik Adam Zharif, 9, yang hanya mereka berdua terselamat daripada tragedi itu.

Katanya, mereka akhirnya membuka mulut ketika urusan membawa pulang jenazah Nik Amirah Ab Rahman, 40; Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Aishah Azzahra, 5, untuk pengebumian kira-kira 6 petang tadi.

"Sejak balik, Kaklong (Nik Adilia Zulaikha) hanya memanggil umi... umi.. (Nik Amirah), manakala Adam banyak diam.

"Dia beritahu umi, baba (Nik Mohd Zulmi) dan Ecah (Nik Aishah) ada di dalam kereta," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Padang Tengah, di sini, hari ini.

Jenazah ketiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 7.12 malam tadi.

Amnah berkata, buat masa ini dia akan mengambil alih tanggungjawab menjaga dua cucunya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Mulong 2.

Dia juga memberitahu yang kali terakhir berbual dengan arwah Nik Amirah apabila anak sulungnya itu meminta dia mendoakan rumahnya di Kubang Kala dapat disiapkan segera.

Amnah juga menafikan arwah anaknya itu sedang mengandung dan menganggap pasukan penyelamat keliru kerana Nik Amirah berbadan besar.

Sementara itu, sepupu Nik Amirah, Mohd Aidi Ab Ghani, 50, berkata, tidak menyangka kata-kata arwah yang mahu sehidup semati dengan suaminya, dua bulan lalu menjadi kenyataan.

"Arwah juga suka sangat sedekah makanan kepada ahli keluarga dan saudara-mara dengan menyangkut makanan pada pagar rumah. Petang sebelum kejadian, arwah sempat menyangkut terung di pagar rumah sepupu kami," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 9:11pm
d