mutakhir

Karnival Kerjaya Madani tawarkan 5,765 peluang pekerjaan

Oleh Azhar Shahrulnizam

Gombak: Karnival Kerjaya Madani tawarkan 5,765 peluang pekerjaan melalui 10 syarikat yang mengambil bahagian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata penganjuran program ini mampu mengurangkan kadar pengangguran serta mengukuhkan pasaran buruh di negara ini.

"Program karnival kali ini adalah antara usaha libat urus Kerajaan untuk memperluaskan platform kepada masyarakat Orang Asli mendapatkan perkhidmatan kebolehpasaran, profiling peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan sekali gus mengatasi kadar pengangguran.

"Majikan yang mengambil calon pekerja dalam kalangan orang asli boleh memanfaatkan rangkaian program disediakan menerusi Insentif Kerjaya Madani 2023, termasuk menerima sehingga RM1,800 untuk tempoh tiga bulan bagi seorang pekerja yang digajikan," katanya ketika berucap di Karnival Kerjaya Madani di sini, hari ini.

Karnival ini adalah anjuran Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Umno Malaysia (Hawa), HRD Corpdan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

Sementara itu, seorang daripada peserta yang berjaya mendapatkan kerja, Abdul Mujib Jalil, 28, berkata, program seperti ini wajar diteruskan lagi supaya lebih ramai belia terutamanya orang asli dapat menceburi sektor pekerjaan dengan lebih formal.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori, jadual tidak menentu, kita apabila bekerja sebagai pemandu lori logistik saya dapat kerja dengan gaji yang tetap dan lebih berdisiplin.

"Proses permohonan juga tidak rumit. Saya cuma menunggu selama dua minggu. Saya harap mereka yang ingin menaikkan taraf pekerjaan dan kehidupan mereka," katanya.

Sehingga 21 Julai lalu, portal MYFutureJobs telah berjaya membantu seramai 884,688 pencari kerja untuk ditempatkan di pelbagai sektor dan 213,077 daripadanya adalah dari Negeri Selangor.

Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso akan terus konsisten memainkan peranan aktif dalam penempatan pekerjaan, seterusnya memenuhi keperluan bakat yang berkualiti oleh syarikat dan organisasi di Negeri Selangor.

Sementara itu, kerjasama antara Perkeso dan Hawa Malaysia akan dipertingkatkan untuk memperluaskan liputan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Setakat 31 Julai sahaja, seramai 182,425 suri rumah mencarum dengan skim ini, termasuk 166,666 suri rumah keluarga B40 yang bayaran caruman mereka dibiayai kerajaan.

Disiarkan pada: August 10, 2023 @ 10:29pm
d