mutakhir

'Bantulah guru dan mudir pondok'

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pengurusan Pondok Kelantan memohon agar kebajikan untuk guru dan mudir di negeri ini turut mendapat perhatian kerajaan pusat.

Setiausaha Jabhah Pondok Kelantan, Ahmad Shairazi Atiquullah berkata, setakat ini 54 pondok yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) beroperasi sendiri tanpa prasarana lengkap dan sumbangan yang minimum untuk tenaga pengajarnya.

"Sejak dua penggal lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk setiap pondok, diberikan sumbangan kepada mudir, timbalannya dan guru secara bulanan.

"Saguhati itu bernilai RM1,000, RM500 dan RM300 meringankan mereka ini yang mengajar secara sukarela dan permohonan yang sama sudah dibuat kepada kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Setakat ini masih belum menerima maklum balas dan kami harap peruntukan yang sama serta prasarana asas dapat diberikan dalam usaha membangunkan institusi pondok di negeri ini," katanya di Pondok Pasir Tumboh di sini.

Terdahulu seramai 50 mudir dan wakil pondok dari seluruh Kelantan hadir di Pondok Pasir Tumboh dalam majlis Resolusi Tuan-tuan Guru Pondok Kelantan dan menyatakan pendirian mereka untuk bersama pemimpin yang mengamalkan konsep integriti.

Ahmad Shairazi berkata, pondok di Kelantan adalah denyut nadi seluruh masyarakat Islam di negeri ini yang amat sesuai dengan perkembangan agama Islam dan kedudukan ulama.

Disiarkan pada: August 11, 2023 @ 10:56am
d