mutakhir

PRN: Seperti dijangka, keputusan kekal 3-3

Oleh Amir Abd Hamid dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) menepati ramalan apabila mendapat keputusan status quo di enam negeri menunjukkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan pentadbiran di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Sementara gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) pula kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Negeri Sembilan, gabungan PH-BN dilihat menang besar di negeri berkenaan apabila memperoleh 31 kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi dipertandingkan.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, berdasarkan keputusan yang diperoleh pada jam 11 malam ini, tiada mana-mana parti yang berjaya memperoleh majoriti 50 peratus daripada jumlah kerusi dipertandingkan.

"Di Selangor sebanyak 56 kerusi Dun dipertandingkan dan daripada jumlah itu sejumlah 29 kerusi dimenangi oleh PH manakala memenangi sejumlah 21 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang," katanya.

Di blok PN, Abdul Ghani berkata kesemua negeri yang dimenangi oleh gabungan parti politik iaitu PAS berjaya memperoleh majoriti 50 peratus kerusi dipertandingkan.

"Di Kedah, setakat jam 10.20 malam ini PN memenangi 19 daripada 36 kerusi Dun dipertandingkan manakala Terengganu memenangi 17 daripada 32 kerusi serta Kelantan (23 daripada 45 kerusi)," katanya.

Sementara itu, keputusan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu hanya akan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Disiarkan pada: August 13, 2023 @ 12:23am
d