mutakhir

Dera anak: JKM kenal pihak layak bagi perlindungan sementara

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk memberi perlindungan sementara atau tetap terhadap kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera ibu dan kenalan ibunya di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, penilaian itu akan dilaksanakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru bagi membolehkan kanak-kanak itu diberikan perlindungan daripada mereka yang layak, selepas mangsa keluar dari hospital.

Beliau berkata, sebelum ini, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berada di bawah jagaan datuk dan neneknya di Kedah, dan baru setahun tinggal bersama suspek yang juga ibu kandungnya.

"Saya difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah dua beradik dan kedua ibu bapanya sudah bercerai.

"Mangsa baharu setahun tinggal bersama ibunya selepas berpindah daripada datuk dan neneknya, manakala kakaknya yang berusia sembilan tahun kini berada di Pokok Sena, Kedah.

"Pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk penilaian bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak itu 'discaj' dari hospital," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut berdukacita dengan kejadian dera menimpa kanak-kanak itu dan memaklumkan kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan sedang menjalani rawatan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menahan reman suspek iaitu ibu kandung dan rakan kepada wanita itu untuk siasatan pihak PDRM.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada JKM Johor, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak, dan PDRM yang bekerjasama dan pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan kejadian itu menerusi talian kecemasan.

Disiarkan pada: August 13, 2023 @ 9:51am
d